Tuesday 2 November 2010

Asal Usul Masyarakat Rao @ Rawa (Bahagian 4)


Upacara

Adapun upacara ini hanya dilakukan bagi mereka yang berketurunan Rawa yang dikatakan telah meninggalkan Pagar Ruyong sahaja. Tidak semuanya boleh melakukan Adat Berjojak mengikut pandangan Ketua Kampung Sungai Itek, Gopeng, Perak. Mereka yang dikatakan Pantang Tanah sahaja yang wajib melaksanakan adat tersebut.
Seperti yang kita sudah maklum, Adat Berjojak ini hanyalah dilakukan sekali seumur hidup, di mana bayi yang berusia setahun seminggu ke atas tidak dibenarkan berjijak di atas tanah kerana dipercayai akan mengalami cirit birit dan muntah-muntah hinggalah ke tahap muntah darah. Bagi yang tidak melakukannya di saat cukup syarat, maka apabila melepasi satu tahap yakni baligh umurnya, atau berjijak tanah dengan melanggar pantang larang masyarakat Rawa, mereka atau individu tersebut akan menjadi tidak siuman atau lebih tepat dikatakan sebagai biol oleh Isteri Ketua kampong tersebut yang turut sama menceritakan tentang salah seorang dari masyarakat setempat yang kini berada di hospital bahagia.
Upacara Berjojak yang sudah diperturunkan ke generasi ke enam, nampaknya begitu dipegang teguh. Setiap satu persatu upacara dihuraikan dengan panjang lebar dan terperinci. Di mulakan dengan penyediaan bahan-bahan upacara dan juga bahan-bahan hadiah kepada tukang upacara yang dikenali sebagai Mudim.



Upacara Berjojak

Cahayamata adalah satu anugerah. Begitu simboliknya sebuah ikatan perkahwinan diserikan dengan kehadiran zuriat yang dikatakan penyambung warisan, penegak adat dan pembela agama dan bangsa.  Anak yang dilahirkan dalam masyarakat Rawa, lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang apatah lagi dipaksikan adat turun temurun yang begitu kuat bersendikan paparan peristiwa yang tidak boleh disangkal oleh logik akal.
Istimewanya anak yang lahir dari masyarakat Rawa ialah dari lahir hinggalah ke usia setahun seminggu, kanak-kanak tersebut dilarang sama sekali memijak tanah hatta sebutir pasir sekalipun meskipun ada diantara mereka yang sudah pandai bertatih atau berjalan. Upacara Berjojak adalah satu simbolik bagi mereka yang berketurunan Rawa yang dilahirkan di luar Pagar Ruyong, Indonesia. Ini adalah sebagai satu peristiwa penting bagi setiap individu dalam masyarakat Rawa. Setiap dari mereka pernah melalui upacara sedemikian ketika usia mereka setahun seminggu ke atas.
Hari yang ditunggu sudah kujung tiba, ahli keluarga serta sanak saudara berkumpul bagi menjalankan adat yang sudah sebati menjadi darah daging serta tulang empat kerat dalam susurgalur keluarga tersebut. Bayi yang dikatakan sudah cukup syarat, iaitu berumur setahun seminggu akan diperkenalkan kepada tanah atau lebih tepat lagi di ajar memijak tanah.
Si ayah, bersiap sedia menjemput Mudim atau ketua upacara bagi menyempurnakan adat turun temurun tersebut. Si ibu pula sibuk mempersiapkan kelengkapan untuk upacara yang bakal berlangsung di luar rumah sambil sibuk menggoreng beras sebagai santapan kanak-kanak yang mulai berlegar-legar diperkarangan rumah bagi menyaksikan serta meraikan rakan baru mereka yang baru boleh memijak tanah.
Si ibu serta kaum keluarga perlu menyediakan kelengkapan bagi upacara sepertimana kehendak Mudim, dimana kesemua bahan dan ramuan itu adalah sama dari dahulu sehingga kini. Senarai barangan itu di amati satu persatu dan disediakan dengan sempurna. Sebuah dulang yang berisi bunga tujuh warna, lilin tiga batang, beras tiga warna, limau nipis tiga biji, cincin emas, tepung tiga warna dan paling utama ibu kunyit berserta tikar yang bakal dibentangkan di luar rumah. 

Apabila si ayah pulang bersama dengan Mudim, maka si ibu lantas menghampar tikar berkenaan di luar rumah sambil meletakkan dulang yang berisi bahan serta ramuan di tengah-tengah sambil menabur bunga-bunga serta bertih goreng di atas tikar berkenaan.
Si ibu masuk ke dalam bagi menyiapkan bayi berkenaan. Bayi lelaki dikenakan sepersalinan baju melayu berwarna kuning beserta tanjak manakala bayi perempuan dipakaikan baju kurung berwarna kuning. Jari jemari bayi nan halus itu di inaikan pada awal pagi mengikut adat sebelum upacara berlangsung bagi menaikkan seri upacara tersebut.
Upacara berlangsung apabila si ibu membawa bayinya ke tikar dimana Mudim telah duduk dan mempersiapkan segalanya. Tanah liat diletakkan di belakang Mudim berkenaan. Si ibu duduk di hadapan Mudim sambil memegang bayinya. Mudim memulakan upacara tersebut dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sambil menghembuskannya kepada cincin emas yang dipegangnya.
Cincin emas berkenaan dikenakan atau disapukan di bahagian-bahagian sendi bayi berkenaan. Bermula dari dahinya, kedua sikunya serta kedua lututnya. Kemudian Mudim mengambil ibu kunyit dan meneruskan bacaannya. Perkata yang sama dilakukan kepada bayi berkenaan. Setiap sendinya dilalukan ibu kunyit yang dikatakan penawar paling mujarab bagi bayi-bayi yang telah melanggar pantang sebelum dijojakkan. Air perenjis juga digunakan oleh Mudim bagi merenjis bayi berkenaan sepanjang upacara tersebut berjalan.
Mudim meneruskan upacara dengan mengambil bayi berkenaan dan meletakkan kedua tapak kakinya di atas tanah. Buat sekian kalinya, bayi berkenaan memijak tanah setelah dihalang oleh kedua ibu bapanya sebelum ini. Perkara tersebut dilakukan sebanyak tujuh kali berselang seli dengan bacaan. Dimulakan dengan mengambil bayi, meletakkan tapak kakinya di atas tanah, ditatihkan dan diserahkan kembali kepada ibunya.
Setelah selesai, Mudim segera meletakkan tapak kaki bayi berkenaan di atas tanah liat yang dikatakan paling berbisa selain barang kemas yang berunsurkan emas dan pasir. Setelah itu, bayi berkenaan harus di letakkan di atas bahu si ayah dan di bawa ke bilik air untuk dimandikan. Mudim memotong sebiji limau nipis dan memerahnya ke dalam sebaldi air. Bunga-bunga yang ebrada di dalam dulang tersebut dimasukkan sedikit ke dalam baldi sebelum memasukkan beras tiga warna, tepung tiga warna.
Bayi akan dijirus dengan air berkenaan oleh si ayah dan di pakaikan semula baju oleh si ibu. Maka selesai sudah upacara berjojak di hari pertama. Ini tidak bermakna si anak atau bayi berkenaan sudah mendapat lampu hijau untuk keluar berjalan-jalan di luar. Pantang larang diteruskan untuk hari kedua sehinggalah hari ketiga tiba.
Mudim akan diberikan pengeras iaitu sebanyak lima ringgit dan dua puluh lima sen sebagai syarat atau lebih sebagai sedekah oleh isi rumah berkenaan selain seekor ayam jantan bagi bayi lelaki dan seekor ayam betina bagi bayi perempuan dan dua biji kelapa.
Di hari ketiga, bayi yang sudah mampu berjalan akan dibenarkan bermain di luar sambil diperhatikan oleh si ibu. Apabila si anak itu kembali kepangkuan si ibu yang berada di dalam rumah, maka bayi tersebut akan dimandikan dengan baki kelengkapan yang masih terdapat di dalam dulang iaitu bunga tujuh warna, beras tiga warna, tepung tiga warna dan limau nipis dua biji. Air akan dijiruskan ke atas bayi berkenaan ke segenap inci tubuh badan sehinggalah habis sebaldi.
Maka, selesai sudah upacara Berjojak yakni setelah berakhirnya hari ketiga. Upacara yang dipertahankan dari satu generasi ke generasi ini adalah satu keraian bagi seisi keluarga dimana si ibu tidak lagi perlu prihatin terhadap si anak dari sebarang bentuk gangguan yang berupa pasir, tanah, barang kemas atau tanah liat yang menjadi kepantangan kepada bayi berkenaan.
Masyarakat rawa dan upacara Berjojak ini tidak akan hilang selagi setiap isi rumah mempraktikkan malah memegang adat berkenaan dengan utuh. Adat turun temurun ialah pusaka warisan yang perlu dipelihara dengan baik.
Bagaimanapun adat berkenaan tidak terpakai kepada masyarakat Rawa yang berpantang api. Bagi yang berpantang api pula, bayi berkenaan tidak diperlukan untuk dijalankan upacara berjojak tanah namun jika bayi yang berketurunan pantang api tidak boleh diubatkan oleh Mudim yang berpantang tanah kerana masyarakat yang berpantang api mempunyai Mudim atau dukunnya sendiri. Mudim yang terkenal di kalangan masyarakat api ialah arwah Puti Saha yang dikatakan mempunyai ilmu yang sangat tinggi dan berkaramah.

0 Komentar:

Dah baca ENTRY ni..?

Satu BAHASA Satu LOGHAT

PEKIN

PEKIN adalah satu keadaan dimana seseorang itu belajar untuk berjimat.. Berdikit-dikit dalam berbelanja..

Ayat:
Masa untuk PEKIN.. Menabung time..!

p/s: PEKIN pekin jugak.. Jangan kena cop bakhil sudah.. Anyway PEKIN yang saya maksudkan ini tak ada kaitan dengan PEKIN si pelakon tu.. Kebetulan semata-mata.. wink!